Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 155 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

41  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2244.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seseorang kamu melalui sebuah jalan, tiba-tiba dia menemukan sebuah ranting berduri lalu disingkirkannya ranting itu. Maka Allah Ta'ala berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."

42  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1745.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya Abu Sufyan mengisahkan kepadanya dari mulut Abu Sufyan sendiri cerita berikut: "Pada masa berlangsungnya perjanjian damai antaraku dengan Rasulullah saw., aku pergi berniaga ke Syam. Ketika aku sedang berada di sana, disampaikan orang sepucuk surat dari Rasulullah saw. kepada Kaisar Heraelius, Penguasa Agung Rumawi. Yang membawa surat itu ialah Dihyah Al Kalbi kepada pembesar Bushra, kemudian pembesar Bushra ini menyampaikannya kepada Heraelius. Tanya Heraelius, "Adakah di sini, orang-orang dari bangsa lelaki yang mendakwakan dirinya menjadi Nabi itu?" Jawab mereka, "Ada!" Lalu aku dipanggil mereka menghadap Heraelius bersama beberapa orang Quraisy kawan-kawanku. Kami masuk dan duduk di hadapan baginda. Tanya Heraelius, "Siapakah di antara kalian yang dekat pertalian darahnya dengan orang yang mendakwakan dirinya menjadi Nabi itu?" Jawab ku, "Aku!" Mereka menyuruh ku duduk ke depan, sedang kawan-kawanku duduk di belakangku. Sesudah itu dipanggilnya penterjemah sambil berkata, "Katakan kepada mereka, bahawa aku menanyakan kepada mereka perihal lelaki yang mendakwakan dirinya sebagai Nabi. Jika dia berdusta, katakan dia dusta." Kata Abu Sufyan, "Demi Allah! Kalaulah aku tidak takut akan dicap pendusta, sungguh telah ku dustai dia." Kemudian Heraelius berkata kepada penterjemah, "Tanyakan kepadanya, bagaimana kebangsaan orang itu di kalanganmu?" Jawab ku, "Dia seorang bangsawan di kalangan kami." Tanya, "Apakah dia turunan raja?" Jawab ku: "Tidak!" Tanya, "Pernahkah kalian mengatakannya pembohong sebelum ia mengaku jadi Nabi?" Jawab ku, "Tidak! " Tanya, "Siapakah yang jadi pengikutnya, orang-orang besar atau rakyat kecil?" Jawab ku, "Hanya rakyat kecil." Tanya, "Apakah pengikutnya selalu bertambah atau berkurang?" Jawab, "Mereka selalu bertambah." Tanya, "Adakah di antara pengikutnya itu yang murtad kerana benci kepada agama yang dikembangkannya itu?" Jawab, "Tidak!" Tanya, "Pernahkah kamu berperang dengannya?" Jawab, "Ya, pernah!" Tanya, "Bagaimana jalannya peperanganmu dengannya?" Jawab, "Peperangan kami berjalan silih berganti antara menang dan kalah. Kadang-kadang kami yang menang, dia kalah; kadang-kadang kami yang kalah, dia menang." Tanya, "Pernahkah dia mungkir janji?" Jawab, "Tidak! Bahkan kami sedang dalam masa perjanjian damai, iaitu tidak akan serang menyerang dengannya. Aku tidak tahu apa yang akan dibuatnya terhadap perjanjian itu." Kata Abu Sufyan selanjutnya, "Demi Allah, tidak ada kalimat lain yang dapat ku ucapkan selain daripada itu." Tanya, "Apakah ada orang lain sebelum dia, yang mengaku menjadi Nabi seperti dia pula?" Jawab, "Tidak!" Kemudian dia berkata kepada penterjemahnya, "Katakan kepadanya, ku tanyakan kepada mu tentang bangsanya (status sosialnya), maka engkau katakan dia bangsawan. Memang demikianlah halnya semua Rasul-rasul; mereka dibangkitkan dari kalangan bangsawan kaumnya." Ku tanyakan pula kepada mu, " Apakah dia turunan raja?" Jawabmu, "Tidak!" Kataku, "Kalau adalah bapa atau datuknya yang menjadi raja, tentu kerana dia ingin mengembalikan kekuasaan nenek moyangnya." Ku tanyakan pula tentang pengikutnya, apakah terdiri dari rakyat kecil atau dari orang-orang besar? Kamu jawab, hanya terdiri dari rakyat kecil. Memang merekalah pengikut para rasul. Ku tanyakan pula, pernahkah kamu menuduhnya sebagai pembohong sebelumnya?" Jawabmu, "Tidak!" Aku tahu, dia tidak akan pernah berdusta terhadap manusia, apalagi berdusta terhadap Allah. Saya tanyakan kepada mu, "Adakah pengikutnya yang murtad, kerana setelah dipeluknya agama baru itu lalu dia membenci agama itu. Jawabmu, "Tidak!" Memang begitulah halnya apabila iman telah tertanam dalam hati seseorang. Kutanya pula, "Apakah pengikutnya berkurang?" Jawabmu, "Bahkan mereka selalu bertambah." Ya, seperti itulah iman hingga sempurna. Kutanya pula, "Pernahkah kamu memeranginya?" Jawabmu, "Memang, kamu memeranginya. Dan peperangan berjalan silih berganti, kadang-kadang menang, dan kadang kalah." Memang demikianlah halnya, para Rasul itu selalu diuji. Namun demikian, kemenangan terakhir selalu berada di pihak mereka. Ku tanyakan pula, "Pernahkah dia mungkir janji?" Jawabmu, "Tidak pernah!" Memang demikian, para Rasul tidak pernah mungkir janji. Ku tanya pula engkau, "Adakah orang lain sebelum dia yang mengaku menjadi Nabi seperti dia?" Jawabmu, "Tidak!" Kataku, "Kalau ada orang lain sebelumnya yang mengaku jadi Nabi seperti dia, mungkin dia hanya ikut-ikutan dengan orang yang sebelumnya itu." Kemudian dia bertanya, "Apa saja yang diperintahkannya kepadamu?" Jawab ku, "Dia menyuruh kami solat, membayar zakat, menghubungkan silaturahim, dan hidup suci." Katanya, "Jika yang kamu katakan itu benar semuanya, maka tak salah lagi orang itu sesungguhnya Nabi. Aku telah tahu bahawa dia akan muncul, tetapi aku tidak menduga bahawa dia akan muncul di kalangan kalian. Kalaulah aku yakin bahawa aku dapat bertemu dengannya, aku memang ingin benar bertemu dengannya. Dan kalau aku telah berada di dekatnya, akan ku basuh kedua tapak kakinya. Dan daerah kekuasaannya kelak, akan sampai ke daerah kekuasaanku ini." Kata Abu Sufyan, "Kemudian dimintanya surat Rasulullah saw. tersebut, lalu dibacanya. Di dalamnya tertulis: "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad Rasulullah, kepada Heraelius, Pembesar Rumawi. Berbahagialah orang yang mengikuti petunjuk. Kemudian, aku mengajak Anda masuk Islam. Islamlah Anda, nescaya Anda selamat. Islamlah Anda, nescaya Allah akan memberi Anda pahala berlipat ganda. Jika Anda menolak, maka Anda akan memikul dosa seluruh rakyat Anda. Hai, Ahli Kitab! Marilah kita bersatu dalam kalimat yang sama antara kita semua. Iaitu, bahawa kita tidak akan menyembah selain hanya kepada Allah semata-mata; tidak akan menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain, dan tidak menjadikan sebahagian kita menjadi Tuhan sebahagian yang lain, kecuali hanya Allah semata-mata. Jika mereka menolak, maka katakanlah kepada mereka, "Saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang muslim." Setelah Heraelius selesai membaca surat itu, terdengar suara heboh di sekitarnya. Dia memerintahkan kami supaya keluar. Sampai di luar aku berkata kepada kawan-kawanku, "Sungguh luar biasa urusan Ibnu AbiKabsyah! Sehingga dia ditakuti oleh raja bangsa kulit kuning. Kerana itu aku sentiasa yakin, bahawa agama Rasulullah saw. ini pasti menang, sehingga akhirnya Allah memasukkan Islam ke dalam hati sanubari ku."

43  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2268.
Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Seorang Arab dusun bertanya kepada Nabi saw., "Bilakah terjadi hari kiamat?" Rasulullah saw. balik bertanya kepadanya, "Apakah yang telah anda persiapkan untuk itu?" Jawabnya, "Mengasihi Allah dan Rasul-Nya." Sabda beliau, "Engkau sentiasa bersama kekasih mu itu kelak."

44  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0356.
Dari Anas r.a., katanya: "Pada suatu hari, ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah saw., tiba-tiba beliau tertidur sebentar. Kemudian beliau mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kerana itu kami bertanya, "Mengapa anda tersenyum, ya, Rasulullah?" Jawab beliau, "Sebentar ini turun kepada ku sebuah surah." Lalu dibacakan oleh beliau: "Bismillahirrahmanirrahim. Inna a'thainakal Kautsar. Fashalli librabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar." (Al Kautsar: 1-3). (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada mu nikmat yang banyak. Maka tegakkanlah solat kerana Tuhan mu, dan berkorbanlah. Sesungguhnya musuh-musuh mu akan habis binasa). Kemudian beliau bertanya, "Tahukah anda sekalian apakah Kautsar itu?" Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Sabda beliau, "Kautsar itu ialah sebuah sungai yang dijanjikan Allah 'Azza wa Jalla bagi ku. Sungai itu melimpahkan banyak kebaikan. Dia merupakan telaga, di mana umat ku akan datang ke situ kelak di hari kiamat. Bejananya sebanyak bintang di langit." Tiba-tiba dikeluarkan seseorang di antara mereka. Lalu kataku, "Wahai, Tuhan ku! Orang itu adalah umatku." Jawab Allah Ta'ala, "Engkau tidak tahu apa yang telah diperbuatnya sepeninggal mu."

45  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2109.
Dari Abu Qatadah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Mimpi yang baik datang dari Allah, dan mimpi yang buruk dari syaitan. Maka siapa bermimpi yang dibencinya, hendaklah dia meludah ke kiri, kemudian berlindung kepada Allah dari kejahatan syaitan, nescaya tidak akan membahayakannya. Dan jangan menceritakan mimpi itu kepada siapa pun. Maka siapa bermimpi dengan mimpi yang buruk, bergembiralah dan jangan mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang dikasihi."

46  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2184.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Bacalah (Quran): 'Seandainya kamu berkuasa, apakah kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (kasih sayang)? Mereka itulah orang-orang yang dikutuk Allah dan ditulikanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?" (Muhammad, 47: 22-24)

47  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2442.
Dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah sebagai berikut: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan ku memerintahkan kepada ku supaya mengajarkan kepada kamu sekalian apa-apa yang belum kamu ketahui. Iaitu pengajaran yang diajarkan Allah kepada ku hari ini. Firman Allah: Setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku semuanya berada dalam agama yang lurus. Tetapi mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu syaitan membelokkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan apa-apa yang telah Ku halalkan bagi mereka, dan menyuruh mereka supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apa-apa. Sesungguhnya Allah mengawasi penduduk bumi dengan kemarahan, baik bangsa Arab maupun bangsa Ajam, kecuali sisa-sisa Ahli Kitab. Firman Allah Ta'ala, "Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk mengujimu dan menguji orang lain dengan engkau. Aku turunkan kepada mu Kitab yang tidak hilang kena air, yang dapat engkau baca di waktu tidur dan bangun. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada ku supaya membangkitkan kemarahan orang-orang Quraisy." Jawab ku, "Ya, Tuhan ku! Nanti mereka pecah kepala ku dan mereka tinggalkan seperti (pecahan) roti." Firman Allah, "Usir mereka seperti mereka mengusirmu. Perangi mereka, nanti Kami bantu kamu memerangi mereka. Keluarkan segala dana, nanti Kami beri dana engkau. Kirim pasukan tentera, nanti Kami kirim pula tentera membantumu lima kali lipat. Perangilah olehmu bersama-sama orang yang taat kepada mu, mereka yang durhaka kepada mu. Firman Allah Ta'ala, "Penduduk syurga ada tiga macam: (1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum. (2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap karib kerabat dan kaum muslimin. (3) Orang daif yang tidak terkendalikan otaknya, mereka di samping kamu hanyalah ikut-ikutan, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak menghendaki kekayaan. Penduduk neraka ada lima macam: (1) Orang daif yang tidak mempergunakan otaknya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. (2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal kecil dikhianatinya juga. (3) Orang yang pagi petang berusaha hendak menipumu, tentang keluargamu, dan harta mu, (4) Orang bakhil atau pendusta. (5) Orang yang bermulut kotor (orang yang berperangai buruk dan suka menggunjing).

48  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1751.
Dari 'Abdullah bin Rabah, dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Suatu perutusan (delegasi) datang kepada Mu'awiyah di bulan Ramadhan. Maka kerana itu sebahagian kami sibuk membuat makanan untuk yang lain-lain. Di antaranya terdapat Abu Hurairah yang sering mengajak kami ke tempatnya. Aku berkata kepadanya, "Tidak seyogyanyakah ku buat makanan, lalu ku undang mereka makan ke rumah ku? Lalu ku suruh buatkan makanan, kemudian ku temui Abu Hurairah untuk mengundangnya makan malam. Kata ku, "Sekarang makan malam di rumahku." Jawab Abu Hurairah, "Engkau mendahului ku?" Jawab ku, "Ya, aku mengundang mereka juga." Kata Abu Hurairah, "Sukakah kalian ku ceritakan kepada kalian suatu peristiwa mengenai diri kalian sendiri, hai kaum Ansar?" Lalu diceritakannya peristiwa sekitar penaklukan Mekah. Katanya, "Rasulullah saw. berangkat hingga sampai di Mekah. Beliau mengangkat Zubair mengepalai satu di antara dua sayap, dan mengangkat Khalid mengepalai sayap yang lain, dan mengangkat Abu 'Ubaidah mengepalai pasukan tanpa baju besi. Mereka masuk ke dalam lembah, sedangkan Rasulullah saw. dalam suatu regu. Kata Abu Hurairah, "Beliau langsung memperhatikan situasi medan, lalu beliau terlihat kepada ku. Kata beliau, "Kamu, hai Abu Hurairah!" Jawab ku, "Ya, hamba, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Jangan dibolehkan mendekat kepada ku selain orang-orang Ansar, kecuali Syaiban. Suruh orang-orang Ansar berkumpul ke dekat ku!" Mereka segera berkumpul sekeliling beliau. Sedangkan orang-orang Quraisy telah menyusun barisan mereka pula dalam beberapa pasukan. Kata orang-orang Quraisy, "Biarkan mereka mendahului kita; jika mereka beruntung, kita sama-sama dengan mereka, dan jika mereka dapat bahaya, kita berikan kepada mereka apa yang dimintanya." Sabda Rasulullah saw., "Kalian lihatkah pasukan Quraisy dan pengikut-pengikut mereka? Kemudian beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya, yang satu di atas yang lain, (maksudnya supaya waspada dan saling melindungi). Kemudian beliau berkata pula, "Sampai berjumpa di Safa." Kata Abu Hurairah, "Kami terus berjalan. Tidak seorang pun di antara kami yang membunuh kecuali jika orang Quraisy itu membunuh. Ternyata tidak ada satu pun perlawanan ditujukan kepada kami. Kemudian Abu Sufyan datang menghadap Rasulullah saw. Dia mengatakan, "Ya, Rasulullah! Jikalau orang-orang Quraisy dibunuhi, maka tidak akan ada lagi orang-orang Quraisy sesudah ini. (ertinya orang-orang Quraisy menyerah kalah tanpa pertumpahan darah). Maka bersabda Rasulullah saw., "Siapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia aman." Mendengar sabda Rasulullah seperti itu, maka orang-orang Ansar berkata sesama mereka, "Agaknya Rasulullah saw. telah rindu kepada kampung halamannya, sehingga timbul rasa kasih sayangnya berkeluarga." Kata Abu Hamid, "Ketika itu wahyu turun. Kami tahu kalau wahyu sedang turun. Kalau wahyu sedang turun, tidak seorang pun yang berani memandang Rasulullah saw. sampai wahyu selesai turun. Setelah selesai, Rasulullah saw. bersabda, "Hai, kaum Ansar!" Jawab mereka, " Kami, ya Rasulullah!" Tanya beliau, "Kaliankah yang berkata bahawa aku telah rindu kampung halaman?" Jawab mereka, "Betul, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Tidak! Sekali-kali tidak! Aku adalah hamba Allah dan RasulNya. Aku telah hijrah kepada Allah dan kepada kalian semua. Hidup dan mati ku bersama-sama dengan kalian." Mendengar ucapan beliau seperti itu, mereka datang menghampiri sambil menangis dan berkata, "Ya, Rasulullah! Kami berkata demikian itu sesungguhnya, kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya." Jawab Rasulullah saw., "Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya membenarkan pengakuan kalian dan memaafkannya." Kata Abu Hurairah, "Maka datanglah orang ramai (penduduk Mekah) ke rumah Abu Sufyan. dan meteka tutup pintu rumah mereka. Sedang Rasulullah saw. terus menuju Hajarul Aswad, lalu beliau cium batu, kemudian beliau tawaf mengelilingi Kaabah. Kemudian beliau datangi berhala-berhala sembahan orang-orang Quraisy yang terletak di sekitar Kaabah, lalu beliau tusuk matanya dengan busur panah yang ada di tangan beliau, sambil berkata, "Telah datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan." Setelah selesai tawaf, beliau datang ke bukit Safa lalu naik ke puncaknya. Sampai di atas beliau memandang ke Kaabah, kemudian beliau mengangkat kedua tangannya, lalu dia memuji Allah dan mendoa apa yang hendak didoakannya."

49  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2185.
Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Rahim (kasih sayang) itu tergantung di 'Arasy." Katanya, "Siapa yang menghubungkan ku, menghubungi pula Allah akan dia dan siapa memutusi ku, memutusi pula Allah akan dia."

50  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2098.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita: "Pada suatu ketika, ada seorang lelaki sedang berjalan melalui sebuah jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Kebetulan dia menemukan sebuah sumur, maka dia turun ke sumur itu untuk minum. Setelah keluar dari sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah ketika kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya. "Alangkah hausnya anjing itu seperti yang baru ku alami." Lalu dia turun kembali ke sumur diceduknya air dengan sepatunya dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterima-Nya amalnya) dan diampuni-Nya dosanya." Para sahabat bertanya. "Ya, Rasulullah! Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini?" Jawab Rasulullah saw."Menyayangi setiap makhluk hidup berpahala."